Lembap!
Itu adalah gambaran awal yang dapat kita katakan jika melihat secara perbandingan usaha-usaha negara lain seperti USA yang begitu pantas dan cekap mengeluarkan rakyat mereka dari Mesir.
Kenapa ia berlaku? Adakah kedutaan di sana atau kerajaan Malaysia lambat membantu?
Sebahagian besar rakyat Malaysia yang mempunyai keluarga di Mesir begitu beremosi dan takut dengan keadaan yang berlaku di Mesir.
Keadaan diburukkan dengan khabar angin mengatakan ada rakyat Malaysia yang dibunuh dan dirogol. Ketika ini segala khabar angin tersebut dianggap benar kerana “tiada siapa yang tak sayang keluarga”. Selagi tak nampak dengan mata sendiri maka itulah yang digambarkan oleh mereka.
Ketika ini juga pihak-pihak yang berkepentingan akan menggunakan kesempatan ini untuk memburukkan kerajaan dan menggunakannya sebagai modal politik tanpa mengambilkira perasaan keluarga yang terlibat.
Mereka tak peduli. Lagi takut keluarga di Malaysia lagi bagus. Tentu mereka akan menyalahkan kerajaan. Kalau orang ramai dah marah, senanglah mereka nak ‘tanam jarum’.
Namun untuk menangani isu ini sebenarnya begitu sukar. Bayangkanlah, pelajar Malaysia yang berdaftar dengan kedutaan sahaja berjumlah kira-kira 14,000 orang. Itu tidak termasuk pelajar yang tidak berdaftar atau rakyat Malaysia yang kebetulan berada di sana yang mungkin tidak diketahui oleh kedutaan.
14,000 pelajar merupakan satu jumlah yang sangat besar. Bayangkan satu keluarga pelajar yang terlibat ada empat orang, maka mereka yang risau dan cemas di Malaysia adalah 56,000 orang.
Sebenarnya bukan kerajaan Malaysia sahaja yang ‘lembap’. Kerajaan Singapura mengambil masa berhari-hari untuk mengeluarkan tak sampai 300 orang rakyatnya. Begitu juga dengan kira-kira 6,000 rakyat Filipina yang masih terkandas di Mesir. Hanya beberapa puluh sahaja yang pulang. Semuanya kerana masalah kewangan yang dihadapi kerajaan Filipina.
Namun Indonesia boleh dicontohi oleh Malaysia kerana telah mula mengeluarkan rakyatnya dari awal walaupun hanya 6,000 rakyatnya di sana. Malah Malaysia kini bekerjasama dengan Indonesia untuk mengeluarkan rakyat Malaysia.
Dikatakan kerajaan Thailand akan bergabung dengan Malaysia dan Indonesia untuk mengeluarkan 2,500 rakyatnya secara bersama.
Apa-apa pun kerajaan Malaysia telah pun melancarkan ‘Ops Piramid’ dan telah berjaya memindahkan beberapa rakyat Malaysia ke Jeddah Arab Saudi. Diharapkan usaha kerajaan Malaysia ini akan berjaya walaupun menghadapi masalah seperti kekangan perintah berkurung, kebenaran mendarat di Kaherah dan Jeddah dan perbagai masalah lagi.
Hanya doa yang mampu semua rakyat Malaysia berikan agar semua rakyat Malaysia mampu diselamatkan. Amin….

0 ulasan:
Catat Ulasan